BlOg ArChIvE

Sunday, August 29, 2010

Umat Islam Perlu Bersatu

Kesatuan ummat Islam adalah kewajipan dalam agama. Ianya amat penting apatah lagi dalam kita ummat Islam berada dalam keadaan yang lemah ditengah-tengah masyarakat dunia.Rasul-rasul yang diutuskan Allah membawa Islam yang mana antara lain ajaran yang utama didalamnya ialah bersatu.

Ini terbukti sebagaimana didalam peristiwa persaudaraan diantara Muhajirin dan Ansar yang diantara mereka tiada langsung ikatan pertalian darah.Yang ada hanyalah ikatan persaudaraan dalam Islam. Juga berlaku kepada puak Aus dan Khazraj yang telah berkurun lamanya bermusuhan akhirnya bersatu diatas nama Islam.

Kesatuan mereka atas nama Islam ini adalah contoh terbaik bagi kita semua dalam menterjemahkan Islam itu adalah agama universal iaitu agama untuk semua. Tiada perjuangan atas nama kaum, tiada pilih kasih semata-mata berlainan warna kulit, bukan kasih sayang itu hanya kerana seseorang itu terdiri daripada keturunan kita, bahkan kasih sayang itu ikhlas kerana Allah. Maka lahirlah ketika itu masyarakat yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah.

Walaupun mereka mempunyai perbezaan pendapat dalam masalah fiqh, pendekatan politik, dan dalam masalah menafsirkan ayat-ayat al-Quran, akan tetapi dalam masalah pokok iaitu asas kepada Islam mereka akan bersatu. Perkara ini telah dibuktikan oleh imam-imam muktabar pada zaman dahulu. Mereka mengeluarkan pendapat mereka tetapi dalam mereka mempertahankan pendapat dan hujjah mereka, mereka menghormati pandangan atau idea dari imam-imam yang lain asalkan perkara itu ialah perkara furu’ (cabang) dan bukan perkara asas supaya tiada perpecahan terjadi. Itulah adab Islam ketika berselisih pendapat.

Satu contoh yang berlaku pada zaman rasulullah dimana beberapa sahabat yang telah menafsirkan arahan rasulullah berkenaan sembahyang asar ketika perjalanan mereka ke perkampungan Bani Khuraizah. Hadis yang bermaksud “ Barang siapa yang beriman kepada Allah jangan seorang dari kamu sembahyang asar melainkan di perkampungan Bani Khuraizah”

Ada dikalangan sahabat dalam menafsirkan hadis ini berpendapat bahawa rasulullah bertujuan agar mereka semua cepat sampai ke perkampungan Bani Khuraizah. Ada juga yang menafsirkan solat asar itu wajib dikerjakan hanya di perkampungan Bani Khuraizah. Maka mereka tidak sembahyang di pertengahan jalan. Akan tetapi ada satu kumpulan sahabat pula bersembahyang di tengah perjalanan mereka ke perkampungan Bani Khuraizah kerana melihat waktu asar sudah hamper luput.

Disana juga telah terdapat banyak perselisihan pendapat diantara sahabat seperti Saidina Umar, Khalid al-Walid, Ibnu Abbas dan juga Ibnu Umar. Akan tetapi apabila mereka berhujjah dengan pendapat masing-masing, mereka semuanya beradab, berakhlak dan bertoleransi. Ini semua tidak lain hanyalah untuk menjaga kesatuan Islam yang telah diterapkan oleh rasulullah didalam hati-hati mereka.

Penyatuan hati-hati mereka ini sebenarnya terjadi apabila rasulullah membawa penghayatan bahawa Islam itu adalah dibawah satu payung aqidah yang satu, Allah yang satu, rasulullah (Muhammad) atau pemimpin yang satu, kiblat yang satu dan kepentingan yang satu iaitu untuk menegakkan agama Allah, Islam. Firman Allah swt.

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ

Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara taqwa (al-Maidah ayat:2)

Semua dalil-dalil al-Quran dan sunnah ini menunjukkan kewajipan ummat Islam bersatu. Disana dalil-dalil itu juga menunjukkan bagaimana menghadapi kesatuan musuh diperingkat global.Sebagai contoh, Yahudi, Kristian, Hindu dan juga Buddha walaupun mereka berlainan negara dan ada yang berlainan ideologi agama tetapi atas nama untuk menjahanamkan Islam, mereka boleh bersatu sedangkan pada suatu masa dahulu Yahudi menggelarkan nabi Isa itu anak haram.

Lebih membantu agenda mereka ini adalah kita ummat Islam sendiri. Kita lemah dalam kesatuan dan ukhuwah Islamiyyah.Kita masih mencari-cari punca kepada permasalahan mazhab, politik dan lain-lain perkara yang tidak sepatutnya kita pertengkarkan.

Soal-soal seperti Sunni, Syiah, Wahhabi, Salafi, Khalafi dan tarekat telah menyebabkan ummat Islam tidak dapat bersatu atau mengiktiraf antara satu sama lain. Seakan-akan itulah perkara asas yang mesti diperbalahkan dan diselesaikan dengan segera. Sedangkan sekiranya seluruh ummat Islam bersatu seperti bersatunya para sahabat, pastinya seluruh ummat Islam akan mendapat berkat dari Allah.

Oleh kerana perkara ini seakan menjadi barah kepada ummat Islam, adalah menjadi tugas penting bagi ulamak-ulamak, pemikir-pemikir dan ahli-ahli politik Islam masa kini untuk memberikan tumpuan kepada kesedaran ahli-ahli atau pengikut-pengikut mereka untuk membentuk kesatuan diantara mereka. Mereka mesti disedarkan bahawa mereka boleh berselisih pendapat dalam perkara furu’ tetapi mereka tidak sekali-sekali boleh berpecah hanya kerana perkara furu’.

Amat malang bagi ulamak-ulamak, pemikir-pemikir dan juga ahli-ahli politik Islam kerana terpaksa memikirkan perkara-perkara seperti ini secara mendalam disebabkan ingin menyatukan ummat sedang dalam masa yang sama mereka ini terpaksa juga memikirkan cara bagaimana untuk menepis serangan musuh-musuh Islam. Masa dan tenaga mereka dibazirkan untuk perkara yang tidak sepatutnya. Salah siapa?

Soal furu’ atau khilaf ialah soal yang diizinkan Allah untuk diperbincangkan atau diperdebatkan. Ianya adalah tabi’i iaitu semulajadi. Ulamak menyatakan bahawa sekiranya Allah tidak ingin berlakunya kekhilafan dalam dunia ini, nescaya Allah akan menurunkan ayat-ayat al-Quran secara muktamad. Tiada ayat mutsyaabihat yang membawa kepada Qotiyatuddalalah.

Jika kita memerhatikan dengan serius, kita sebenarnya sudah mempunyai kekuatan dari sudut-sudut lain yang dikurniakan Allah seperti agama Islam itu sendiri. Ianya ialah agama para nabi-nabi, diturunkan dari langit, diturunkan wahyu bersamanya, sebagai agama fitrah, dan juga agama yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Didalamnya juga ianya merangkumi semua perkara dari perkara ghaib hingga kepada perkara yang terang nyata. Dari perkara aqidah hingga perkara ibadah, syariat, akhlak dan lain-lain.

Allah telah mengurniakan kepada bumi ummat Islam hasil-hasil bumi yang begitu banyak dan kaya. Lihat sahaja kurniaan Allah kepada negara-negara teluk yang memegang rezab pengeluaran petroleum terbesar dunia.Alangkah kuatnya ummat Islam sekiranya mereka bersatu ditambah pula dengan kekayaan masing-masing diagihkan kepada seluruh negara Islam diatas nama persaudaraan dalam Islam.

Wallahua’lam



No comments:

There was an error in this gadget