BlOg ArChIvE

Monday, August 23, 2010

Kepentingan Mendidik Dan Menjaga Anak-anak

Perkara penting yang sedang dilupai oleh kebanyakan umat Islam ialah menjaga  dan mendidik anak-anak mereka.Ramai yang menyangka bahawa tugas itu merupakan perkara sampingan atau tidak berkait dengan kewajipan agama sebagai satu ibadah.Ini adalah satu tanggapan yang amat salah.

Lantaran kejahilan itu maka, kebanyakan ibubapa tidak mengambil berat dan tidak merasai kemanisan dalam mendidik anak-anak mereka.Kita sebenarnya sedang berada diakhir zaman, yang mana bilangan manusia terlalu ramai.

Kemajuan sedang memuncak.Teknologi sedang berkembang pesat dan manusia sedang berterusan leka mencintai dunia.Sekaligus juga menyediakan anak-anak kita cabaran yang lebih hebat lagi.Kalau tidak dijaga dan didik mereka dengan baik dan berhati-hati maka masa depan mereka didunia dan akhirat mungkin akan menjadi sia-sia.

Anak-anak adalah cahaya mata anugerah Ilahi.Anak juga adalah amanah Allah kepada kita semua.Ibubapalah akan mencorakkan dan mengasuhnya.Tetapi anak-anak juga bakal menjadi malapetaka besar kepada ibubapa sekiranya anak itu tidak didik dengan sebaik-baiknya.Allah berfirman :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَخُونُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓاْ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Wahai orang-orang beriman,janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasulnya dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahuinya (surah al-Anfal ayat : 27)

Hari ini,kita boleh lihat betapa susahnya ibubapa,keluarga bahkan seluruh anggota masyarakat memikirkan apakah penyelesaian untuk permasalahan ini.Semua lapisan masyarakat turut merasai tempias dengan telatah anak-anak muda kita ini.

Ada yang mabuk kerana arak,ganja,pil,ubat batuk,air ketum dan lain-lain.Ada juga yang mencuri,merompak,menyamun,berzina tinggal sembahyang,tidak menutup aurat,derhaka kepada ibubapa dan banyak lagi.

Perkara-perkara jenayah,salah laku,buruk akhlak,dimuatkan di dalam akhbar,majalah dan televisyen.Ini semua dipertontonkan oleh pihak media sehinga penonton sudah tidak merasa apa-apa lagi.Bahkan ada yang rasa jemu.Masing-masing menggaru kepala mencari punca.Akhirnya masing-masing menyalahkan antara satu sama lain.

Sebenarnya untuk menyelesaikan masalah itu,kita mestilah kembali kepada Islam.Dengan semua ibubapa mendidik anak masing-masing dan bersama-sama membantu mendidik masyarakat.Dalam masa,yang sama kerajaan wajiblah membendung masalah-masalah dan jalan-jalan yang boleh merosakan manusia.

Ibubapa,masyarakat dan juga pemerintah,hendaklah berjalan seiringan dalam usaha untuk membendung penyakit sosial yang melanda anak-anak kita ketika ini.Bukannya dengan menyalahkan antara satu sama lain apabila berlaku krisis.Tetapi jauh lebih penting ialah bersama-sama memperkukuhkan lagi benteng pertahanan untuk melawan penyakit ini.

Bak kata pepatah berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Hasil dari kesatuan ini insyaAllah,kita akan dapat memusnahkan penyakit ini.Dan pastinya seluruh masyarakat akan mendapat kesan positif dari kemengangan ini.

Seterusnya suka saya menyatakan kesan-kesan yang baik yang bakal terhasil sekiranya kita menjaga dan mendidik anak-anak kita bersesuaian dengan kehendak Islam.

1.Melahirkan anak-anak yang soleh,dan bertaqwa kepada Allah dan yang boleh mendoakan untuk kesejahteraan ibubapanya dunia akhirat.

2.Melahirkan anak-anak berakhlak yang sentiasa memuliakan kedua ibubapanya dan sanggup berkhidmat untuk keduanya.

3.Melahirkan anak-anak yang disenangi oleh masyarakat.

4.Melahirkan anak-anak yang tahu menghargai masa untuk solat,belajar,bekerja,membaca al-quran dan perkara-perkara yang mendatangkan faedah yang lain.

5.Melahirkan anak-anak faham agama,beramal denganya dan sanggup berjuang untuk menegakkan agama.

Akhir kata,anak-anak kita ibarat kain putih yang bersih.Kita adalah orang yang mencorakkan mereka.Coraklah mereka dengan warna-warna Islam agar ianya menjadi cantik dan segar didunia dan akhirat.

Wallahua’lam


No comments:

Powered By Blogger