BlOg ArChIvE

Saturday, August 21, 2010

Bahayanya Fitnah

Dunia moden tanpa sempadan. Itulah gelaran yang diberikan kepada kehidupan kita hari ini. Semuanya hanya di hujung jari kita untuk menguruskan sesuatu. Yang banyak menjadi sikit, yang susah menjadi senang yang jauh menjadi dekat  juga yang lambat menjadi cepat hasil dari bantuan teknologi masa kini.

Semua rakyat jelata tidak mahu ketinggalan dalam mengejar ataupun terpaksa mengejar peredaran zaman ini kerana ianya akan mencicirkan manusia dalam perlumbaan kehidupan sekiranya gagal mengikut arus ini. Maka tidak boleh tidak, semua orang terpaksa melalui perubahan zaman ini samada sedar atau tidak.

Alat-alat atau kemudahan ini semua adalah kurniaan Allah kepada hambanya untuk membantu manusia dalam memudahkan pekerjaan mereka. Dengan ilmu, manusia mencari cara menggunakan bahan mentah yang Allah sediakan seperti besi, minyak, kayu dan sebagainya yang mana dari minyak boleh dihasilkan plastik, dari kayu dijadikan pula kertas.Allah menyuruh kita mencari ilmu. Firman Allah swt :

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Bacalah dengan nama Rabbmu yang menciptakan (al-Alaq ayat : 1)

Melalui ilmu yang Allah kurniakan maka dapatlah manusia mencipta alat-alat moden seperti komputer ataupun telefon dan banyak lagi. Apabila semua peralatan ini digunakan untuk tujuan baik, maka baiklah hasilnya serta akan mendapat pahala disisi Allah. Jika ianya digunakan untuk kejahatan maka akan jahatlah hasilnya. Sekiranya tujuannya baik, ia menunjukkan bahawa kita bersyukur kepada Allah dengan ilmu yang dikurniakan dan jika manusia berniat jahat dengan kemudahan itu maka manusia itu mencari kemurkaan Allah. Firman Allah swt :

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬

“Dan (ingatlah juga), takala Rabbmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (ni’mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (surah Ibrahiim ayat : 7)

Begitulah amaran Allah kepada manusia. Jika kita menggunakannya dengan baik, maka manusia akan hidup aman damai. Dan akan hancurlah kehidupan jika kita menggunakannya dijalan yang salah.

Dewasa ini terdapat dikalangan manusia menyalah gunakan teknologi bagi menyebarkan berita.Fitnah ditabur dengan sewenang-wenangnya menggunakan teknologi moden mengakibatkan manusia hidup dalam keadaan serba salah, curiga mencurigai, berbalah dan bermusuhan dan mungkin juga akan ada nyawa   terkorban kerana kemudahan yang disalah guna.

Saya mengambil contoh handphone diawal tahun 90-an dahulu yang hanya digunakan oleh orang-orang yang berada sahaja. Tetapi apabila alaf baru menjelma, ianya sudah dimiliki oleh jutaan orang di Malaysia. Kini sesiapa yang tidak mempunyai handphone, akan dianggap sebagai orang yang terlalu miskin atau ketinggalan zaman. Tetapi bukan hanya untuk menelefon sahaja kegunaannya malah lebih dari itu ia diguna bagi tujuan yang tidak sepatutnya seperti menyebar gambar lucah dan tidak kurang juga fitnah melalui SMS.

Muncul juga internet. Ianya sezaman dengan handphone. Ianya mungkin tidak mempunyai pengguna seramai pengguna handphone di Malaysia akan tetapi, mempunyai peminat yang mungkin setanding dengan handphone. Dari pelanggan internet, dia akan membawa cerita-cerita dari internet lalu disebarkan kepada kawannya yang tidak ada kemudahan internet. Kemudian ianya diedarkan lagi kepada kawan, kemudian kawannya yang lain. Hasilnya cerita itu akan merebak dengan meluas.

Cerita dari internet dan SMS ini sangat laku hinggakan ianya seperti satu sumber sahih yang mesti dipercayai bulat-bulat. Oleh kerana internet dan handphone sangat meluas penyebarannya maka ada manusia yang mengambil kesempatan untuk menyebarkan cerita yang mungkin tidak sepatutnya disebarkan. Hinggakan sudah tidak terasa lagi salah atau tidak perbuatan kita samada menjadi pengedar berita fitnah ataupun menjadi pembaca setia berita fitnah itu. Allah memberi amaran kepada kita :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (surah al-Hujuraat ayat 6)

Saya disini mengajak sahabat-sahabat sekelian merujuk kepada berita tentang pimpinan negara sekarang ini yang sedang berperang antara satu sama lain. Semua berita yang diterima hendaklah kita perhatikan mana sumbernya supaya kita tidak tersalah menghukum atau menzalimi orang tidak bersalah.

Allah menyuruh kita berlaku adil kepada semua orang bukan sahaja dari kalangan orang Islam malahan juga dari kalangan orang bukan Islam. Tidak kira   didalam peperangan atau diluar peperangan kerana bersikap adil ini adalah akhlak ummat Islam. Allah amat benci kepada kezaliman. Dalam hadis qudsi Allah berfirman : “Aku mengharamkan kezaliman keatas aku dan janganlah kamu berlaku zalim”

Saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekelian agar menjauhkan diri dari segala fitnah yang sedang berlegar di dalam negara kita sekarang ini. Selamatkanlah diri kita dari api neraka dengan berdiam diri dengan fitnah-fitnah ini kerana berdiam diri itu adalah lebih baik daripada kita turut serta dalam keadaan kita tidak mengetahui perkara sebenar. Saya yakin dan percaya bahawa fitnah ini terjadi hasil dari kezaliman manusia iaitu tidak meletakkan perkara itu ditempat yang sepatutnya. Allah memberi amaran kepada penyokong-penyokong kezaliman dengan firmanNya :

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkanmu disambar api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” (surah |Huud ayat :113)

Sepatutnya dalam keadaan begini penuduh dan tertuduh mestilah mengemukakan saksi sebagai menguatkan hujjah masing-masing dan bukan hanya menuduh tanpa saksi. Atau sekiranya tiada saksi yang boleh diketengahkan, masing-masing mestilah bermuhabalah iaitu bersumpah laknat keatas diri masing-masing sekiranya mereka menipu. Keadaan tuduh menuduh ini sebenarnya telah memecahbelahkan masyarakat apatah lagi masyarakat kita yang ramai diantara mereka cetek pengetahuan agamanya.

Saya sekali lagi ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk kita sama-sama mendoakan agar Allah melindungi kita dari fitnah yang sedang melanda ini. Takutkanlah Allah sesungguhnya itulah taqwa yang akan membawa keselamatan dalam hidup kita di dunia dan di akhirat. Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan bertaqwa.

Wallahua’lam

No comments:

There was an error in this gadget